Mat Sabu 10 tahun ke hadapan berbanding Nik Amar

Penyandang Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mempunyai kelebihan 10 tahun ke hadapan daripada segi politik berbanding pencabarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagi perebutan jawatan kedua tertinggi parti Islam itu, kata Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Kebangsaan (MPN), Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Dr Shamsul berkata, pengalamannya dalam perjuangan parti serta kepimpinan yang sangat luas menyebabkan nama Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu lebih dikenali masyarakat.

“Mungkin kerana sikapnya yang suka turun padang, bersalam dengan orang ramai, bagi seminar dan forum menjadikan beliau lebih menonjol.

“Namanya juga sering disebut berbanding Mohd Amar. Mungkin Mohd Amar hanya terkenal di Kelantan,” katanya dipetik daripada akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian.

Katanya, sekiranya Mohd Amar terpilih pada Muktamar PAS ke-59 yang berlangsung pada 22 hingga 24 November ini, mungkin kerana kesinambungan sebagai wakil daripada golongan ulama.

“Pastinya orang Kelantan akan berkempen untuk mengangkatnya dan mencari jalan supaya pemimpin baru ini meneruskan perjuangan PAS.

“Selain itu, mungkin mahu membawa perubahan dalam pucuk pimpinan parti dengan kehadiran orang muda menjadi batu loncatan Mohd Amar untuk mengambil alih jawatan tersebut,” katanya.

Shamsul berkata, Mohamad bukan calang-calang orang kerana beliau masih berjaya memimpin parti walaupun kalah bertanding di Parlimen Pendang, Kedah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Abdul.

“PAS tidak menghukum beliau dengan kekalahan itu, sebaliknya mungkin diberi mandat baru. Daripada segi kepimpinan dan popularitinya itulah menjadi pengukur kepadanya terus mengekalkan jawatan timbalan presiden pada muktamar nanti,” katanya.

Mengulas mengenai kedudukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tiada pencabar, Shamsul berkata, pengalaman pemimpin itu dalam selok-belok parti dan kerajaan membantunya terus kekal.

“Pemimpin lain dilihat tidak bersedia lagi menggalas tugas sekiranya berada pada kedudukannya itu yang boleh disamakan dengan menteri-menteri di peringkat kerajaan.

“Sekiranya PAS memerintah Malaysia, Hadi akan menjadi Perdana Menterinya,” katanya.

Mohamad dan Mohd Amar bakal bertembung satu lawan satu dalam pemilihan PAS kali ini apabila calon lain yang layak iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub menarik diri dan hanya akan bertanding merebut jawatan naib presiden.

Kemenangan bagi jawatan timbalan presiden dan naib presiden PAS pada 22 November ini akan menentukan masa depan parti Islam itu terutamanya sama ada terus berada dalam Pakatan Rakyat (PR) atau keluar daripada gabungan itu.

Mohamad dilihat sebagai mewakili kumpulan yang mahukan PAS terus bersama PR manakala Mohd Amar pula dilihat sebaliknya. – 11 November, 2013.
0 Komentar untuk "Mat Sabu 10 tahun ke hadapan berbanding Nik Amar"

 
Copyright © 2014 Hot Giler - All Rights Reserved
Template By Catatan Info