Disebalik Kisah Suamiku Menengking Pengemis | Di suatu hari, ketika sepasang suami isteri sedang duduk makan, datang seorang pengemis yang lusuh serta lapar meminta makanan:
“Tolonglah tuan, sejak semalam saya tidak menjamah apa-apa”. Dengan muka yang bengis si suami menghalau dan menengking si pengemis itu.
Si suami berkata dalam hati ” Aku membina kekayaan bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri dan keluargaku”. Si isteri ingin bersedekah tetapi tidak dapat berbuat demikian melihatkan sikap suaminya.
Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia menceraikan isterinya keranan tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian isterinya yang masih cantik itu berkahwin dengan lelaki lain.
Pada suatu hari, sedang si isteri dan suaminya mengadap makanan, datang seorang pengemis mengetuk sambil meminta belas kasihan. mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.
Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis itu, si isteri menerkup muka sambil menangis dan berkata si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulunya pernah menengking seorang pengemis.
Suaminya yang baru itu menjawab dengan tenang “Demi Allah, akulah sebenarnya pengemis yang dihalau dan ditengking dulu.”
Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita seperti putaran roda dan tidak selalunya di atas. Ada masanya kita akan turun ke bawah dan naik semula atau sebaliknya.
Bersyukur dengan apa yang kita ada dan jangan lupa pada insan yang tiada apa-apa. moga Allah redha.
0 Komentar untuk "Kisah Pengemis Yang Ditengking Ketika Minta Makan"