Zed Zaidi anggap David Teo pengecut

“Kenapa takut nak jumpa jika tak buat salah?” Itu persoalan Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi terhadap sikap penerbit David Teo yang seolah-olah berdolak-dalik apabila diminta untuk berjumpa bagi menyelesaikan masalah berhubung isu kontrak yang disediakan syarikat pengurusan miliknya, Metrowealth (MIG).

Sebelum ini, Zed Zaidi pernah mengeluarkan kenyataan di media dengan mengatakan syarat yang dikenakan MIG di mana artis di bawah naungannnya tidak boleh bercinta adalah tidak berasas. Zed turut menegaskan bahawa syarat sebegitu seharusnya dimansuhkan kerana ia melanggar hak asasi manusia.

“Saya ada menghantar surat pada 18 Oktober lalu untuk berjumpa dengan David Teo bagi membincangkan mengenai aduan daripada Wawa Zainal dan Aeril Zafril yang mengadu mereka tidak dibenarkan berkahwin selain tidak pernah mendapat salinan kontrak dari syarikat pengurusan mereka.

Apabila ahli mengadu, saya sebagai Presiden hanya menjalankan tanggungjawab saya saja. Kenapa dia perlu melenting jika tidak buat salah. Saya hanya mahu duduk berbincang dan menyelesaikan masalah ini dengan dia. Dia ada cakap yang dia dah bagi salinan kontrak tapi mana buktinya sebab tuan punya badan cakap mereka tak dapat pun,” ujar Zed ketika dihubungi GUA.

“Kami ada menghantar surat kedua kelmarin memandangkan sehingga saat ini, kami masih belum dapat berjumpa dengan dia. David memberi banyak alasan antaranya sibuk dengan perkahwinan Diana Amir serta promosi filem Highland Tower.

"Saya pelik, Anugerah Profima dan acara yang ada media boleh saja dia pergi dan tak sibuk, tapi apabila nak ajak berbincang mengenai isu ini, asyik bagi alasan sibuk saja.

"Kalau boleh kita nak selesaikan masalah ini terus sebab itu kita nak duduk berbincang. Bila dia macam berdolak-dalik, tak nak berjumpa, dari situ orang dah boleh nilai.

"Bagi saya, dia tidak perlu takut jika tak buat salah. Nak jumpa Perdana Menteri lagi senang daripada nak jumpa dia,” sindir Zed sambil menjawab kenyataan David kononnya dia gila glamor dan tak sedar diri.

“Saya hanya mampu ketawa bila dia cakap saya gila glamor. Saya tidak perlu glamor kerana orang dah kenal saya pun. Dia juga cakap saya tak sedar diri kononnya bila nak minta sumbangan boleh saja datang ke pejabatnya.

"Sepanjang Seniman di bawah kepimpinan saya, kami tidak pernah minta sumbangan dari MIG, tidak tahulah jika pucuk pimpinan sebelum ini,” kata Zed yang menolak untuk berjumpa dengan David di pejabat MIG.

“Kalau boleh saya tidak mahu berjumpa di pejabatnya kerana nanti dia cakap kita nak ambil sumbangan pula. Sebab itu saya lebih selesa berjumpa di mana-mana tempat seperti hotel atau sebagainya,” jelas Zed lagi sambil berharap agar David Teo dapat berjumpa dengan pihaknya sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

“Kita beri masa kepada dia sehingga minggu hadapan. Jika dia masih tidak mahu berjumpa juga, Biro Aduan Seniman akan buat satu laporan sebelum dirujuk kepada Suhakam.

"Kemudian kami akan buat satu sidang akhbar mengenai perkara ini. Kami juga mempunyai perancangan untuk mengadakan taklimat kepada artis Malaysia dan minta mereka bawa salinan kontrak mereka.

"Di situ, kami akan mengadakan dialog dan mereka boleh menyuarakan apa yang mereka mahu dalam kontrak mereka supaya perkara sebegini tidak berulang lagi pada masa hadapan,” ujar Zed Zaidi. – Gua


0 Komentar untuk "Zed Zaidi anggap David Teo pengecut"

 
Copyright © 2014 Hot Giler - All Rights Reserved
Template By Catatan Info