Muktamar PAS: Calon guna majlis rasmi jatuhkan lawan

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat mengesahkan telah menerima beberapa aduan berhubung kesalahan menjatuhkan calon lain dalam majlis-majlis rasmi anjuran badan perhubungan parti dan lajnah-lajnah di peringkat negeri.

Pengerusinya, Asmuni Awi berkata, aduan-aduan tersebut akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, mana-mana calon yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu bakal berdepan risiko dilucutkan jawatan sekiranya mereka menang.

"Saya hendak beri peringatan kepada badan perhubungan negeri, lajnah-lajnah negeri agar jangan menyalahgunakan majlis rasmi yang dianjurkan oleh mereka dan ditukar untuk mempromosi individu tertentu serta menjatuhkan calon-calon lain.

"Perkara ini sudah berlaku dan saya terima aduan. Saya beri peringatan supaya tidak diulangi perbuatan itu," katanya dalam sidang akhbar pengumuman senarai calon bertanding dalam pemilihan parti di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.

Tambah Asmuni, aduan tentang pelanggaran tatacara pemilihan parti boleh dikemukakan kepada Lembaga Disiplin Pas, Jawatankuasa Pas Pusat dan Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya tentang butiran aduan-aduan yang diterima.
0 Komentar untuk "Muktamar PAS: Calon guna majlis rasmi jatuhkan lawan"

 
Copyright © 2014 Hot Giler - All Rights Reserved
Template By Catatan Info