KJ berdendam dengan FAM?

Bekas kapten negara hairan gelagat menteri berterusan hentam wibawa FAM

Kuantan: Tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berterusan menghentam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara terbuka di media termasuk menyifatkan badan induk itu masih berada di zaman purba dibidas Datuk Jamal Nasir Ismail semalam.

Jamal berkata, sebagai bekas kapten skuad kebangsaan dan ahli jawatankuasa FAM sebelum ini, hatinya terguris apabila ada pihak, apa lagi menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan negara, mengkritik secara melulu seolah-olah mahu melepaskan geram kepada individu tertentu dalam badan induk itu.

“Saya tidak faham kenapa Khairy sejak akhir-akhir ini terlalu nampak kelemahan FAM sedangkan sebelum ini ketika beliau menjadi timbalan presiden FAM selama tiga tahun (2007-2010), masalah ini tidak timbul.

Kena muka sendiri

“Adakah beliau berdendam? Tidakkah beliau sedar kritikan itu seperti ‘meludah ke langit yang akhirnya terkena ke muka sendiri’ kerana FAM adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan.

“Beliau begitu berani menuding jari menyalah orang lain, tetapi terlupa empat jari lagi menunjuk ke arahnya. Sekiranya beliau bijak dalam bidang pengurusan kenapa pasukan MyTeam yang dipimpin hanya mampu bertahan selama tiga tahun,” katanya yang pernah menyarung jersi negara pada era 70 hingga 80-an.

Khairy sebelum ini terus lantang mengkritik FAM susulan penemuan sepucuk pistol dan tujuh butir peluru di dalam tandas Stadium Shah Alam ketika final Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang, 3 November lalu.
0 Komentar untuk "KJ berdendam dengan FAM?"

 
Copyright © 2014 Hot Giler - All Rights Reserved
Template By Catatan Info